Demi prinsip, Noor Kumalasari tolak tawaran lakonan lebih RM100,000
KUALA LUMPUR – Seniwati Noor Kumalasari mengakui pernah menolak tawaran lakonan bernilai lebih RM100,000 selepas pihak produksi memintanya membuka tudung bagi menjayakan sebuah drama bersiri televisyen.
Pelakon berusia 70 tahun itu berkata, keputusan itu dibuat kerana dia tidak sanggup menggadaikan prinsipnya untuk memenuhi syarat berkenaan, meskipun terpaksa melepaskan tawaran lumayan.
Menurutnya, perjalanan untuk kekal istiqamah selepas berhijab bukan mudah kerana pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, namun dia bersyukur kerana imannya terus dipelihara Allah SWT.
“Mula-mula berhijab memang banyak cabaran. Malah, saya pernah dapat satu tawaran bernilai lebih RM100,000 untuk drama bersiri televisyen tetapi tolak begitu sahaja.
“Pihak produksi suruh buka hijab dan katanya perlukan saya buka tudung. Saya terus kata minta maaf, tidak akan buat demi apa-apa pun kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam sempena Festival Filem Malaysia (FFM), di sini semalam.
Bintang filem Mira Edora itu berkata, pendiriannya turut menjadi rujukan kepada seorang pelakon wanita muda yang berdepan situasi sama selepas mengambil keputusan berhijab.
Katanya, beliau menasihati pelakon berkenaan supaya membuat keputusan berdasarkan keyakinan terhadap Allah SWT dan tidak meletakkan wang sebagai keutamaan.
“Saya beritahu dia, terpulang kepadanya, kerana bagi saya apabila sudah berhijab dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, adakah kita sanggup korbankan wang ringgit itu kerana Allah?
“Rezeki itu milik-Nya, jadi buatlah keputusan sendiri. Saya beritahu dia bahawa saya tidak akan sesekali membuka hijab demi apa jua perkara,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurutnya, pelakon wanita itu akhirnya membuat keputusan sama untuk mempertahankan hijabnya walaupun terpaksa melepaskan watak yang ditawarkan.
Dalam perkembangan lain, Noor Kumalasari berkata, tawaran berlakon masih diterimanya sehingga kini termasuk bagi watak kecil yang hanya memerlukan beberapa hari penggambaran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mempunyai keinginan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan walaupun ditawarkan watak sampingan.
“Masih ada lagi tawaran berlakon. Mereka kata watak sikit sahaja, hanya perlu penggambaran dua hingga tiga hari.
“Tetapi kalau Allah sudah tutup pintu hati, memang tiada langsung rasa nak berlakon semula. Keinginan itu langsung tidak ada, cuma saya masih menonton drama televisyen dan filem-filem lama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








