BERITA SEMASA

Aliff Daniel bersama ibu dan adik lafaz taubat, ucap kalimah syahadah

SHAH ALAM – Pemuda yang tular melakukan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Aliff Daniel mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak sehingga mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dia turut mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut kepercayaan Hindu dengan hanya memakan sayur-sayuran dan minum air sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada Januari 2024.

aliff ritual
Gambar tular di media sosial menunjukkan Aliff melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan syariat Islam.

Menurutnya, amalan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves, Gombak atas alasan bernazar untuk kesembuhan ibunya, kebahagiaan keluarga, penghapusan dosa dan penyucian diri.

Bagi melaksanakan ritual berkenaan, dia memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara di dalam kuil.

“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat dalam majlis yang disiarkan secara langsung di Facebook Jabatan Agama Islam Selangor.

Aliff Daniel turut mengakui pernah melakukan pelbagai bentuk rawatan menggunakan mantera yang bukan bersumberkan ajaran Islam serta mencampurkan amalan kepercayaan dan unsur agama lain dalam kaedah rawatan spiritual.

Sehubungan itu, dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, sebaliknya berusaha mendalami ilmu agama dan mengamalkan ajaran Islam berlandaskan pengetahuan yang benar.

“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rohizayanti Ramli dalam pengisytiharan taubat turut mengakui kelemahan dan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sehingga menyebabkan anaknya terjebak dengan fahaman serta amalan yang menyimpang daripada akidah Islam.

Dia berkata, perkara itu berpunca daripada kekurangan ilmu agama, kelekaan terhadap urusan duniawi serta kelemahan memantau dan membimbing pemikiran, pergaulan serta persekitaran anaknya.

“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan memimpin anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh dan mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.

Rohizayanti turut berikrar untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam, membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan yang menyeleweng serta meningkatkan kefahaman agama menerusi kelas pengajian yang sahih dan bertauliah.

Adik perempuan Aliff Daniel, Nur Ranea Ezreen yang juga pelakon pula melahirkan kekesalan atas kelemahannya menjaga keharmonian institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberikan teguran, nasihat dan sokongan secukupnya sehingga abangnya terpengaruh dengan amalan ritual berkenaan.

“Saya mengaku dan menyesali sekiranya terdapat tindakan, sikap acuh tak acuh, kelekaan masa lalu atau kegagalan saya dalam memberikan teguran, nasihat dan benteng sokongan yang secukupnya sehingga membiarkan persekitaran atau pengaruh luar merosakkan pegangan agama abang saya,” katanya.

Dia turut berazam memperbaiki diri, memperkukuh pegangan akidah serta membantu pemulihan abangnya melalui pendekatan kasih sayang, doa berterusan dan kerjasama dengan pihak berkuasa agama.

Pada akhir majlis, ketiga-tiga mereka melafazkan dua kalimah syahadah sebagai tanda keinsafan, tekad untuk kembali menghayati ajaran Islam serta memohon keampunan Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button