KEMENTERIAN KOMUNIKASI

PRN Melaka: Fahmi ingatkan pengendali media sosial hormati hak cipta kandungan berita

AYER KEROH – Pengendali akaun media sosial diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan atau menyiarkan semula kandungan berita media arus perdana tanpa kebenaran dan pengiktirafan terhadap organisasi penerbit asal.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan pihak tertentu mengambil hasil kerja wartawan tanpa memberikan kredit kepada organisasi media yang menghasilkan laporan berkenaan.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar memandangkang setiap laporan berita memerlukan komitmen dan usaha petugas media yang menjalankan tugasan di lapangan.

“Ini peringatan, terutama kepada pengendali akaun media sosial supaya tidak mengambil kandungan daripada media arus perdana atau media rasmi tanpa persetujuan dan kebenaran pihak yang menghasilkan berita itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Media Utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Ayer Keroh, hari ini.

Fahmi berkata, wartawan yang mendapati kandungan hasil kerja mereka disalin atau digunakan tanpa kebenaran boleh mengemukakan aduan kepada Majlis Media Malaysia (MMM).

Katanya, aduan juga boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya kesalahan berkenaan membabitkan platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Melaka turut dibuka sebagai pusat sokongan kepada pengamal media sepanjang tempoh PRN.

Menurutnya, kemudahan disediakan termasuk akses internet, makanan dan minuman serta ruang untuk petugas media berehat dan menyiapkan laporan.

Selain itu, MCMC turut menyediakan kaunter aduan bagi membantu pengamal media menangani masalah capaian internet ketika menjalankan tugasan liputan.

Beliau turut menyarankan petugas media menggunakan aplikasi MCMC Nexus untuk menguji kelajuan internet di lokasi liputan, sekali gus mengenal pasti kawasan yang mempunyai masalah liputan atau titik buta komunikasi.

Pada masa sama, Fahmi mengingatkan semua calon yang bertanding supaya menghormati kehadiran pengamal media sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan atau keselesaan petugas media perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, penyediaan pusat media dan kemudahan NADI itu bertujuan memastikan pengamal media dapat melaksanakan tanggungjawab membuat liputan PRN Melaka dengan lebih lancar dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button