BERITA SEMASA

Hasrat Wan Badariah bercuti bersama keluarga tidak kesampaian

KANGAR – Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, untuk meluangkan masa bercuti bersama suami dan tiga anak selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini semalam.

Suaminya, Sabry Saad, 52, berkata, Allahyarhamah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian, malah masih bergurau dan berbual seperti biasa semalam.

“Cuma kebelakangan ini Allahyarhamah kerap berbual dengan anak kedua kami yang berusia 18 tahun dan belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi panggilan telefon, selain anak-anak lain yang berada di Perlis,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTF.

Menurut Sabry, isterinya mengalami keletihan sejak beberapa hari lalu, namun keadaan itu tidak begitu membimbangkan sehingga pagi tadi apabila kesihatannya merosot dengan ketara.

Beliau berkata, Wan Badariah dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum ditidurkan.

“Masa kami bawa ke HTF, isteri saya sudah tidak boleh bercakap. Apabila sampai di jabatan kecemasan, beliau ditidurkan dan meninggal dunia pada pukul 4.26 petang tadi,” katanya memetik laporan Bernama.

Sabry berkata, isterinya mempunyai masalah tiroid dan mengambil ubat-ubatan bagi mengawal penyakit berkenaan.

BACA JUGA:
ADUN Mata Ayer meninggal dunia di HTF

Bagaimanapun, beliau tidak menyangka Allahyarham akan pergi secara mengejut memandangkan tiada tanda-tanda serius yang ditunjukkan sebelum ini.

“Tidak sangka akan jadi begini sebab beliau tidak menunjukkan simptom yang lebih dahsyat,” katanya.

Jenazah Wan Badariah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau, hari ini selepas disolatkan pada pukul 11 pagi.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyampaikan ucapan takziah kerajaan negeri kepada keluarga Allahyarhamah serta kepimpinan PAS atas pemergian wakil rakyat parti itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Wan Badariah yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi DUN Mata Ayer dengan memperoleh 4,419 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Siti Berenee Yahya yang memperoleh 2,398 undi, dan calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamaruddin, dengan 794 undi, sekali gus mencatat majoriti 2,021 undi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button