JSJ ambil alih siasatan kematian Noorizwan, peruntukan Kanun Keseksaan dikenal pasti
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkifli, dengan satu peruntukan di bawah Kanun Keseksaan dikenal pasti sebagai asas siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menerima taklimat daripada pihak polis berhubung perkembangan kes berkenaan susulan isu itu dibangkitkan di Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, hari ini.
“Sebarang perkembangan terbaharu siasatan akan dimaklumkan kepada orang ramai sekiranya terdapat maklumat baharu.
“Saya boleh sebut jika ada perkembangan terhadap siasatan itu, saya sendiri akan hebahkan,” katanya di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab persoalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan isu berkenaan dengan meminta penjelasan mengenai kecederaan serius yang didakwa dikenal pasti menerusi hasil bedah siasat terhadap Noorizwan.
Antara kecederaan yang dibangkitkan termasuk enam tulang rusuk patah, kecederaan pada saraf tunjang serta pendarahan di bahagian otak dan usus.
Rayer turut mempersoalkan bagaimana kecederaan berkenaan boleh berlaku ketika Noorizwan berada dalam tahanan polis, selain membangkitkan persoalan mengenai kes kematian dalam tahanan yang terus menjadi perhatian.
Bagaimanapun, Rayer menjelaskan bahawa persoalannya bukan bertujuan menyalahkan keseluruhan pasukan polis, sebaliknya meminta penjelasan berhubung kemungkinan wujud salah laku oleh segelintir anggota penguat kuasa.
Noorizwan ditahan pada 19 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah, kecurian dan pecah rumah sebelum ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Noorizwan kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 30 September sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Terdahulu, Bukit Aman memaklumkan beberapa kecederaan luaran ditemukan pada tubuh Noorizwan, namun tiada pendarahan dalaman dikesan. Punca kematian ketika itu masih menunggu keputusan analisis makmal.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, termasuk jika melibatkan anggota pasukan penguat kuasa.
Beliau berkata, prinsip berkenaan terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau tanggungjawab masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







