Mafia korporat: Kebebasan pasukan khas siasat salah guna agensi jadi keutamaan PM – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kebebasan pasukan khas yang bakal menyiasat dakwaan penyalahgunaan agensi dan institusi bagi kepentingan korporat atau individu tertentu menjadi antara keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini susulan pengumuman penubuhan pasukan berkenaan minggu lalu.
Beliau berkata, aspek kebebasan badan siasatan itu penting berikutan dakwaan serius membabitkan penggunaan agensi penguatkuasaan untuk memberi kelebihan kepada pihak tertentu.
“Kita akan dapat (perincian) mungkin daripada perkara dalam mesyuarat minggu ini seperti yang dah saya umumkan minggu lalu. Kerana memang untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, isu kebebasan bagi pasukan itu menjadi antara perkara yang paling utama.
“Ia melibatkan dakwaan yang besar bahawa ada penyalahgunaan agensi ataupun institusi untuk tujuan manfaat korporat ataupun individu tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke bilik berita Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau percaya Perdana Menteri mahu badan siasatan yang dibentuk menjalankan tugas secara bebas dan telus bagi memastikan dakwaan berkenaan disiasat dengan baik.
“Saya percaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan minta supaya badan ataupun jawatankuasa yang akan melakukan siasatan ini bebas dan dapat melakukan (siasatan) dengan baik,” ujarnya.
Minggu lalu, Anwar ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat mengumumkan penubuhan pasukan khas diketuai Peguam Negara bersama agensi penguatkuasaan utama untuk menyiasat dakwaan pembabitan sindiket dalam salah laku korporat dan manipulasi pasaran saham.
Laporan penuh hasil siasatan itu dijangka dikemukakan dalam tempoh tiga bulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








