BERITA SEMASA

KPDN sita 5,801 mainan squishy tidak patuh standard bernilai RM70,428

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 5,801 unit mainan span lembut atau squishy bernilai RM70,428.70 kerana gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC) dalam pemeriksaan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sitaan itu dibuat menerusi 15 tindakan penguatkuasaan hasil pemeriksaan khas yang dijalankan dari 1 hingga 14 Oktober lalu.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan, sebanyak 1,845 premis telah diperiksa melibatkan pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada 15 kes tindakan penguatkuasaan dengan sitaan sebanyak 5,801 unit mainan squishy bernilai RM70,428.70 kerana gagal mempamerkan MC seperti yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPDN memandang serius isu keselamatan mainan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

“KPDN akan terus mempergiat pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk yang mematuhi standard keselamatan ditawarkan di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya menyemak label dan tanda pematuhan keselamatan sebelum membeli mainan untuk anak-anak.

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai penjualan mainan yang disyaki tidak mematuhi standard keselamatan boleh membuat aduan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000 atau 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN di e-aduan.kpdn.gov.my atau Pusat Panggilan 1-800-886-800.

Aduan juga boleh disalurkan menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button