BERITA SEMASA

SHMMP Tahun Baharu Cina: KPDN rekod 1,357 kes, kompaun RM157,000

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) merekodkan 1,357 kes sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 melibatkan kompaun berjumlah RM157,000 serta sitaan bernilai RM40,361.57.

 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam berkata, jumlah itu diperoleh hasil 10,672 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara dalam tempoh sembilan hari pelaksanaan skim bermula 13 hingga 21 Februari lalu.

 

Menurutnya, pelaksanaan SHMMP itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat dan menangani kos sara hidup sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan pada 17 Februari.

 

“KPDN mempergiat pemantauan secara intensif bagi memastikan kestabilan harga barangan serta mengelakkan sebarang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan fizikal harian di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah membabitkan peringkat pengeluar, pemborong serta peruncit.

 

Selain itu, lebih 2,400 pegawai penguat kuasa digerakkan di seluruh negara menerusi inisiatif Ops Pantau 2026 bagi meningkatkan keyakinan pengguna serta memberi peringatan tegas kepada peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

 

Dalam pada itu, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan keperluan seperti ikan dan sayur-sayuran mencukupi sepanjang tempoh perayaan.

 

“Secara keseluruhan, SHMMP Tahun Baharu Cina kali ini berjalan lancar dan mencapai objektif hasil pemantauan rapi serta maklum balas positif orang ramai.

 

“KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan manipulasi harga yang tidak munasabah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button