JENAYAH & MAHKAMAH

Empat sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di Batu Pahat

BATU PAHAT –  Perjalanan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila empat daripada mereka termasuk seorang warga emas, kanak-kanak lima tahun dan bayi berusia sembilan bulan maut ajal selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), petang semalam.

Dalam insiden pada pukul 5.19 petang itu, kenderaan jenis Ford Ranger yang dinaiki enam individu berkenaan dipercayai merempuh bahagian belakang lori treler jenis Scania yang diletakkan di tepi jalan.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hafiz Mohd Shahid, empat mangsa yang terkorban melibatkan dua wanita warga emas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun serta seorang bayi lelaki berumur sembilan bulan.

“Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an yang berada di dalam Ford Ranger tersebut mengalami kecederaan, manakala seorang lagi penumpang telah dikejarkan ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

“Kemalangan ini turut melibatkan sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vios yang dinaiki seorang lelaki warga emas berumur 70 tahun dan wanita berusia 35 tahun. Kedua-dua mereka dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu lori treler berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Hafiz menjelaskan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.19 petang lalu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh bergegas dan tiba di tempat kejadian pada pukul 5.58 petang.

Tambahnya lagi, kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba, dan tiada mangsa yang dikesan tersepit.

Pasukan bomba kemudiannya memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera serta melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di jalan raya sebelum menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi pembersihan dan kawalan keselamatan yang melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera bomba berakhir sepenuhnya pada pukul 6.11 petang.

Punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan kini dalam siasatan lanjut pihak polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button