Polis tahan lelaki berkaitan video sokong hubungan diplomatik dengan Israel
CYBERJAYA – Polis sudah menahan individu dipercayai mengeluarkan kenyataan menyokong hubungan diplomatik dengan Israel dalam satu video temu bual yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu kini dikenakan tahanan reman selama tiga hari.
“Suspek berumur 36 tahun itu sebelum ini telah menyatakan sokongan berkaitan hubungan diplomatik dengan pempengaruh Israel menerusi temu bual berkenaan.
“Dia yang diberkas kemudiannya dibenarkan untuk direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan (D5) Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sek 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes ini masih di peringkat siasatan, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan ulasan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai turut diminta agar menjadi pengguna sosial yang bijak dan tidak menggunakan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, video berkenaan dipercayai satu video lama yang dimuat naik ke Youtube pada tahun 2021.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








