Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan anggota polis
SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, dan Mohamad Faiz Saman, 40.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Majistret Khairatul Animah Jelani menetapkan wang jaminan berjumlah RM3,000 terhadap Mohd Shuhaily, dengan RM1,500 bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily pula diwakili pasukan sembilan peguam, antaranya Datuk Rosal Azimin Ahmad, Kitson Foong dan Datuk Akberdin Abdul Kader.
Mahkamah telah menetapkan 25 November ini untuk penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








