Warga emas rugi hampir RM88,000 diperdaya skim pelaburan saham palsu
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM87,975.04 selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 63 tahun dan tidak bekerja itu tertarik dengan iklan berkenaan sebelum menghubungi seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurutnya, suspek kemudian memujuk mangsa menyertai skim pelaburan itu dengan menjanjikan pulangan lumayan sebanyak RM25,000 bagi setiap RM450 yang dilaburkan.
“Suspek memujuk mangsa agar menyertai skim itu dengan dijanjikan pulangan lumayan, iaitu sebanyak RM25,000 bagi setiap RM450 yang dilaburkan.
“Mangsa yang gelap mata telah membuat sembilan kali bayaran berjumlah RM87,975.04 menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas dari 3 hingga 12 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang modal serta sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
Katanya, usaha mangsa menghubungi suspek juga tidak berhasil sebelum wanita itu membuat laporan polis pada 7.58 malam semalam.
“Mangsa yang berasal dari Wakaf Tembusu, Kuala Nerus, kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 7.58 malam semalam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







