BERITA SEMASA

Jabatan Penjara pada fasa akhir gubal peraturan tahanan rumah – KDN

JERTIH – Jabatan Penjara Malaysia kini di fasa akhir menggubal peraturan dan syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah, susulan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang diusahakan susulan surat daripada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang membolehkan Jabatan Penjara Malaysia menetapkan syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah berkenaan.

“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada … Dalam surat Urus Setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara, disebut Jabatan Penjara bolehlah mengadakan apa-apa syarat.

“Jadi, tugas kami (Jabatan Penjara) ialah untuk membangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang diusahakan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang hari ini.

Saifuddin bagaimanapun berkata, Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai satu daripada syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Terbaharu, peguam utama Najib, Tan Sri Shafee Abdullah mengakui, anak guamnya itu akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, menerusi perintah tahanan di rumah yang diterima daripada Sultan Ibrahim. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button