SPRM Kuala Lumpur, PNBMV perkukuh kerjasama perangi rasuah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad Merdeka Ventures (PNBMV) akan menganjurkan program ‘Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah’, esok.
Program sehari tersebut yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun SPRM Ke-59 merupakan salah satu usaha memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dan rakan strategik dalam menyemarakkan budaya integriti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, penganjuran program itu antara inisiatif SPRM Kuala Lumpur untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak selain mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berimpak.

“Antara pengisian utama program ini ialah aktiviti Larian Menara (Tower Run) melibatkan pendakian sebanyak 2,845 anak tangga di Menara Merdeka 118, selain acara mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera SPRM di puncak menara ikonik ini.
“Acara tersebut yang dijangka disertai seramai 50 peserta pelbagai peringkat umur melambangkan semangat patriotisme, perpaduan dan iltizam bersama dalam memerangi rasuah demi kepentingan negara,” katanya.
Program yang diadakan di Menara Merdeka 118 itu akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Pada masa yang sama, pameran reruai juga akan diadakan di Stadium Merdeka yang melibatkan pelbagai agensi dan rakan strategik, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak ketinggalan agensi lain yang turut terlibat ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Institut Integriti Malaysia (IIM); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dalam pada itu, KKM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan melalui reruai khas serta klinik pergigian bergerak bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pergigian sepanjang program berlangsung.
Program yang bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang itu terbuka kepada orang ramai dan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai kepentingan integriti, pencegahan rasuah dan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang beretika.
Penganjuran program ‘Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah’ diharap dapat terus memperkukuh sinergi antara SPRM, agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dalam menyemai nilai integriti, memperkasakan kesedaran antirasuah serta membina Malaysia yang bebas rasuah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






