Tiada kes penipuan berkaitan haji, umrah direkodkan tahun ini – Zulkifli
SEPANG – Kerjasama semua pihak terutama agensi kerajaan, pasukan penguatkuasaan dan kempen kesedaran yang berterusan mengenai penipuan pakej haji, umrah dan badal haji membuahkan hasil apabila tiada kes direkodkan sepanjang tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu dicapai melalui usaha kerjasama yang sentiasa diperkukuh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Zulkifli berkata, usaha itu turut melibatkan kempen kesedaran seperti “Tiada Visa, Tiada Haji” serta pemantauan terhadap iklan dan tawaran pakej haji atau badal haji yang mencurigakan di pelbagai platform media sosial.
Namun katanya, kejayaan tersebut tidak seharusnya menyebabkan masyarakat leka kerana kegiatan penipuan boleh berubah mengikut keadaan dan musim haji.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama yang padu daripada semua pihak, Malaysia berjaya mencatatkan ‘zero case scammer’, iaitu tiada kes penipuan haji termasuk kes penipuan badal haji direkodkan untuk tahun 2026.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh Tabung Haji, PJH dan semua pihak yang terlibat akan terus dipermudahkan dan diberkati oleh Allah.
“Namun, kita tidak boleh berasa selesa. Setiap musim haji membawa cabaran dan modus operandi yang mungkin berbeza. Justeru, kewaspadaan masyarakat hendaklah terus dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 Pengelola Jemaah Haji (KHUP5) bagi musim 1448H/2027M di Movenpick Hotel & Convention Centre, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan TH tidak pernah melantik ejen individu selain daripada 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan secara rasmi.
“Mana-mana pihak atau individu yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan Tabung Haji merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pemegang visa haji Furada atau Mujamalah supaya menguruskan perjalanan dan kebajikan mereka menerusi syarikat PJH berlesen bagi memastikan urusan perjalanan dipantau serta kebajikan terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan, KHUP5 menghimpunkan 34 syarikat PJH berlesen bagi memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan sebelum memilih pakej haji bersesuaian.
Menurut Zulkifli, syarikat berkenaan turut menawarkan pakej pada harga kompetitif, termasuk di bawah RM55,000, bagi membantu bakal jemaah merancang perjalanan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Beliau turut mengingatkan semua PJH supaya terus mengutamakan integriti, profesionalisme, keselamatan dan kebajikan jemaah dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan industri haji dan umrah negara terus berdaya saing.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, TH dan syarikat PJH penting bagi memastikan kepentingan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi perubahan dasar dan keperluan semasa yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








