LUAR NEGARA

Paramount Skydance rasmi ambil alih Warner Bros Discovery bernilai AS$110 bilion

LOS ANGELES – Paramount Skydance secara rasmi mengambil alih Warner Bros Discovery menerusi penggabungan bernilai AS$110 bilion (RM460 bilion) sekali gus membentuk salah satu empayar hiburan terbesar dalam industri filem dan televisyen Hollywood.

Penggabungan dua studio gergasi dari Los Angeles itu dijangka mengubah landskap media, khususnya industri penstriman, selain memberi kesan kepada jutaan penonton serta masa depan rangkaian berita CNN yang kini berada di bawah kumpulan baharu berkenaan.

Menerusi penggabungan itu, Paramount memperoleh pelbagai jenama popular termasuk HBO, CBS, Nickelodeon, Showtime, Comedy Central, DC Studios dan Food Network, selain francais terkenal seperti Harry Potter, Game of Thrones dan The Lord of the Rings.

Francais berkenaan akan melengkapkan katalog Paramount yang turut merangkumi Indiana Jones, Mission: Impossible dan Shrek.

Syarikat gabungan itu akan menggunakan nama Skydance Corporation, diasaskan oleh David Ellison yang kini menjadi pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Ellison menyifatkan penyempurnaan urus niaga itu sebagai detik bersejarah bagi industri filem, sambil menegaskan penggabungan berkenaan bertujuan mewujudkan pesaing lebih kukuh dalam pasaran hiburan global.

“Sejak awal, matlamat kami adalah untuk menggabungkan dua studio bersejarah ini dan mewujudkan pesaing lebih kukuh, dengan bakat, sumber serta capaian bagi menghasilkan cerita hebat dalam setiap genre dan platform untuk penonton di seluruh dunia,” katanya.

Dalam struktur pengurusan baharu, bekas CEO Mattel, Ynon Kreiz dilantik sebagai CEO bersama dan akan memberi tumpuan kepada operasi harian serta proses penyepaduan kedua-dua syarikat, manakala Ellison akan menumpukan kepada strategi dan teknologi.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi dan Ketua Pengarang CNN Worldwide, manakala Bari Weiss kekal sebagai Ketua Pengarang CBS News. Casey Bloys pula dilantik sebagai Pengerusi Bersama dan Ketua Pegawai Kandungan bagi operasi kandungan terus kepada pengguna.

Penggabungan itu bagaimanapun melalui proses panjang dan kontroversi selepas beberapa negeri di Amerika Syarikat memfailkan saman bagi menghalangnya atas kebimbangan ia boleh menjejaskan persaingan, meningkatkan harga kepada pengguna serta memberi kesan kepada pawagam dan pengedar televisyen kabel.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Paramount bersetuju menubuhkan lembaga kebebasan editorial bagi memastikan laporan CNN dan CBS kekal bebas, objektif dan berasaskan fakta.

Penganalisis AJ Bell, Dan Coatsworth berkata, syarikat baharu itu turut berdepan cabaran kewangan susulan tahap hutang yang tinggi, selain tekanan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan.

“Syarikat gabungan yang kini dikenali sebagai Skydance perlu mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan bagi membolehkan hutang dikurangkan ke tahap yang lebih terkawal,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat, Paramount juga diwajibkan menerbitkan sekurang-kurangnya 30 filem setahun dan memenuhi syarat pengeluaran tertentu di negara itu, termasuk memastikan sekurang-kurangnya 20 peratus produksi filem dilakukan di AS untuk dua tahun pertama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button