BERITA SEMASA

Pemasangan lantai epoxy bukan sekadar sapu dan siap, ramai tidak tahu proses sebenar

KUALA LUMPUR – Pemasangan lantai epoxy bukan sekadar kerja menyapu bahan pada permukaan lantai sebelum menunggu ia kering, sebaliknya memerlukan proses penyediaan permukaan yang teliti bagi memastikan hasil akhir berkualiti dan tahan lama.

Pro Applicator dan Epoxy Specialist, Wan Amirul Alfanzari atau lebih dikenali sebagai Zari berkata, proses penyediaan permukaan atau surface preparation merupakan antara aspek paling penting sebelum kerja pemasangan epoxy dimulakan.

Hal ini kerana, keadaan permukaan lantai perlu dinilai terlebih dahulu kerana lantai yang terlalu lembut atau terlalu keras boleh menjejaskan penggunaan serta daya lekatan bahan epoxy.

“Kalau lantai itu terlalu lembut, terlalu lemah, nanti penggunaan epoxy itu jadi banyak. Kalau lantai itu terlalu keras, nanti epoxy itu tak melekat dengan baik.

“Jadi proses permulaan yang kita panggil surface preparation, penyediaan lantai, sangat-sangat penting,” katanya ketika dalam episod pertama podcast Macam Tulah terbitan Malaysia Tribune, baru-baru ini.

Zari yang mempunyai pengalaman hampir 18 tahun dalam bidang berkenaan berkata, penggunaan mesin dan peralatan yang bersesuaian turut memainkan peranan penting, terutama apabila melibatkan projek berskala besar.

“Kalau dah buat tempat yang lebih besar, kita perlu buat mesin yang lebih besar. Tempat yang besar takkan nak pakai mesin yang kecil-kecil,” katanya.

Beliau berkata, proses penyediaan permukaan juga tidak semestinya berjalan lancar kerana terdapat keadaan lantai yang pecah atau rosak ketika kerja menggosok dijalankan, sekali gus memerlukan kerja pembaikan terlebih dahulu.

Katanya, pembaikan berkenaan perlu menggunakan bahan yang sesuai termasuk epoxy dan bukannya simen kerana kedua-dua bahan mempunyai asas berbeza.

“Simen ini asas air, manakala epoxy adalah asas minyak, jadi dia tak boleh bergabung. Nanti dia tak berlekat,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman sepanjang hampir dua dekad dalam industri itu, Zari berkata banyak kemahiran yang dimilikinya hari ini terbentuk melalui pengalaman mengendalikan projek yang gagal atau berdepan masalah di tapak.

“Dengan pengalaman-pengalaman kerja yang lepas, kita belajar. Belajar ini datang daripada proses kegagalan.

“Bila kita gagal satu projek, kita akan belajar, kita buat lagi. Gagal satu projek, terus buat, buat, buat. Lama-kelamaan proses itu memudahkan kerja,” katanya.

Antara projek paling mencabar pernah dilaluinya ialah kerja pemasangan lantai epoxy di keseluruhan kawasan parkir Mid Valley Megamall yang meliputi kira-kira 180,000 meter persegi.

Menurut Zari, projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa selama tiga tahun dan memerlukan kerja dua syif kerana kawasan parkir masih beroperasi ketika proses pemasangan dijalankan.

“Kita buat dan kereta masih ada lalu. Jadi kita akan buat satu bahagian, kemudian bahagian lain pula. Proses itu mengambil masa sampai tiga tahun,” katanya.

Zari berkata, cabaran dalam industri epoxy turut dipengaruhi faktor tenaga kerja dan bahan mentah, termasuk kualiti epoxy yang diimport dari luar negara yang boleh berbeza antara satu kelompok dengan kelompok lain.

“Epoxy ini satu benda yang hidup. Dia ada banyak variance yang kita kena ambil kira,” katanya.

Beliau berkata, justeru pelanggan dan kontraktor perlu memahami bahawa proses menghasilkan lantai epoxy yang berkualiti memerlukan kepakaran, peralatan serta perancangan yang rapi dan bukannya sekadar menyapu bahan pada permukaan lantai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button