BERITA SEMASAPMX

Kerajaan teliti kembalikan GP Malaysia ke kalendar F1 – PM

KUALA LUMPUR – Hasrat mengembalikan Grand Prix (GP) Malaysia ke dalam kalendar Formula 1 (F1) secara tetap akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebelum perlumbaan bermula di Litar Antarabangsa Sepang.

Beliau berkata, usaha mengembalikan GP Malaysia secara tetap ke Sepang sekali gus dapat menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangan perlumbaan berprestij berkenaan.

“Berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebelum perlumbaan bermula di Litar Antarabangsa Sepang.

“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga : Verstappen akhiri kemarau kemenangan, juarai GP Bahrain di Sepang

Bagaimanapun, Anwar berkata, usaha berkenaan memerlukan masa berikutan penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada.

“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian.

“Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian, dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button