BERITA SEMASA

STAM terus menggegarkan Regatta Subis@Niah 2026

BATU NIAH – Pasukan Singgah Tagal Anek Murai (STAM) mencuri perhatian pada Regatta Subis@Niah 2026 selepas mencatatkan lima keputusan podium serta satu tempat keempat dalam pertandingan yang berlangsung di Waterfront Sepupok Niah, di sini, dari 25 hingga 27 September lalu.

Pengurus serta pemilik STAM, Mohd Ismail Hassim berkata, STAM meraih satu kejuaraan, dua naib johan dan dua tempat ketiga selain menduduki tempat keempat dalam acara kemuncak 30 Pekayuh Lelaki Terbuka – Raja Sungai.

“Kejayaan ini bukan sekadar angka atau koleksi pingat dan piala, sebaliknya menjadi manifestasi bahawa sukan air mampu menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, suku kaum dan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kategori 8 Pekayuh Wanita Pecut 500 meter, STAM muncul juara, manakala masing-masing meraih naib johan bagi kategori 10 Pekayuh Lelaki Terbuka dan 8 Pekayuh Wanita.

Pasukan itu turut menduduki tempat ketiga bagi kategori 8 Pekayuh Wanita dan 10 Pekayuh Lelaki Bawah 30 Tahun.

Pencapaian merentas pelbagai kategori itu memperlihatkan keupayaan STAM bersaing dalam acara pecut mahupun perlumbaan membabitkan jumlah pekayuh lebih besar, sekali gus menyerlahkan kekuatan kolektif dan komitmen pasukan.

STAM merupakan gabungan dua pasukan iaitu Singgah Tagal (ST) dan Anek Murai (AM), yang mempunyai sejarah, lokasi serta latar budaya berbeza namun disatukan menerusi kecintaan terhadap sukan air dan warisan masyarakat Sarawak.

Singgah Tagal yang ditubuhkan pada 2014 berpusat di Bekenu, Sibuti dan diterajui Mohd Ismail selaku pengurus serta pemilik pasukan, manakala Mohtar Lazim bertindak sebagai ketua pasukan.

Anek Murai pula telah bertapak sejak 1989 dan berasal dari Sekapan Piit, Belaga, dengan pasukan itu diketuai Lejau Sirek.

Dari segi kepelbagaian masyarakat, Singgah Tagal menghimpunkan komuniti Kedayan, Bakong, Melayu dan Miriek, manakala Anek Murai membawa identiti masyarakat Sekapan dari Belaga.

Sementara itu, Lejau berharap pencapaian STAM dapat menjadi pencetus kepada usaha berterusan memperkasakan sukan air tradisional sebagai warisan komuniti yang mempunyai nilai budaya, sosial dan pelancongan di Sarawak.

Selain pencapaian dalam perlumbaan, STAM turut mengekalkan penggunaan perahu tradisional yang diperbuat daripada kayu terpilih berbanding perahu gentian kaca, sebagai sebahagian usaha mempertahankan nilai warisan dan tradisi tempatan.

Regatta Subis@Niah 2026 yang berlangsung selama tiga hari turut menampilkan pelbagai kategori perlumbaan, aktiviti komuniti dan kebudayaan, sekali gus menghidupkan suasana pesta rakyat berteraskan warisan serta sukan air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button