JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM reman dua tokoh korporat

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  mereman dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga 5 Oktober itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, di sini pagi tadi.

Difahamkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan pada penghujung 2020.

Kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri dan berusia lingkungan 40-an.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button