BISNES & EKONOMI

Bank Rakyat perluas BizMatch ke Arab Saudi, Jepun dan China

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat memperluas inisiatif BizMatch: ‘Making Malaysian Businesses Great’ ke Arab Saudi, Jepun dan China tahun ini bagi membantu usahawan tempatan meneroka pasaran serta rangkaian perniagaan antarabangsa.

Inisiatif itu menjadi antara fokus Bank Rakyat dalam memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selaras dengan aspirasi #UntukSemua sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-72.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, peluang menghubungkan usahawan tempatan dengan rakan niaga antarabangsa penting bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Beliau berkata, peranan Bank Rakyat kini turut berkembang seiring perubahan teknologi dan keperluan pelanggan, termasuk menerusi pelbagai platform perbankan digital.

“Selepas 72 tahun, perkhidmatan dan penyelesaian kewangan Bank Rakyat terus berevolusi seiring kemajuan teknologi serta perubahan keperluan dan kehendak pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Transformasi digital Bank Rakyat turut merangkumi perbankan Internet iRakyat, aplikasi mudah alih iRakyat, i-bizRAKYAT, i-MerchantRAKYAT, QR2E dan BRICK.

Pada masa sama, Bank Rakyat terus memperluas akses kewangan kepada komuniti luar bandar menerusi kemudahan Bank Bergerak dan ArRahnu on Wheels (ARROW), khususnya bagi masyarakat yang tinggal jauh dari pusat bandar.

Tambah beliau, usaha memperluas akses kewangan itu merupakan kesinambungan peranan yang dimainkan sejak penubuhannya pada 1954, ketika institusi berkenaan memberi tumpuan kepada pembiayaan petani, peladang dan komuniti luar bandar.

Kini, selepas 72 tahun, Bank Rakyat mempunyai lebih sembilan juta pelanggan dan aset berjumlah RM131 bilion, selain 148 cawangan di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button