BERITA SEMASA

Saifuddin Nasution, Ramanan antara 767 penerima darjah kebesaran Kelantan

KOTA BHARU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan merupakan antara 767 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-57 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Kedua-dua menteri berkenaan menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk bersama tiga penerima lain.

saifuddin ramanan
Saifuddin Nasution (kiri) dan Ramanan.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman pula menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah; Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dan Bendahari Dewan Muslimat PAS Kelantan, Wan Ubaidah Omar bersama 10 penerima lain.

Seramai enam pegawai tinggi tentera pula menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan, manakala 16 individu terdiri daripada pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sektor perubatan awam dan swasta menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan yang kesemuanya membawa gelaran Datuk.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid pula menjadi penerima terakhir anugerah yang membawa gelaran Datuk apabila menerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan.

Dalam pada itu, Pengerusi Apex Equity Berhad yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menerima anugerah tertinggi, Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa yang tidak membawa sebarang gelaran.

Seramai enam individu turut menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan, manakala 12 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan termasuk ADUN Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor; ADUN Guchil, Hilmi Abdullah; ADUN Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad; ADUN Chempaka, Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah dan ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 280 penerima lain, selain bintang kepada 198 penerima dan pingat kepada 226 penerima.

Istiadat berkenaan turut menyaksikan pelantikan 12 orang Jaksa Pendamai sebelum diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia yang diketuai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Istiadat berakhir dengan keberangkatan pulang Sultan Muhammad V bersama Keluarga Diraja Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button