HTF30 kemuka laporan interim Pelan Strategik FELDA kepada PM
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 (Jawatankuasa Khas HTF30) mengemukakan laporan interim yang mengandungi hasil kajian dan cadangan penambahbaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 25 September lalu.
Jawatankuasa Khas HTF30 berkata laporan berkenaan dikemukakan untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya Perdana Menteri.
“Jawatankuasa Khas HTF30 merujuk kepada kenyataan media bertarikh 11 September 2026 berhubung penyediaan laporan interim bagi Pelaksanaan Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030.
“Jawatankuasa Khas HTF30 sudah menyerahkan Laporan Interim Pelaksanaan Pelan Strategik Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 kepada Perdana Menteri pada 25 September sebagai status terkini untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Laporan berkenaan disediakan selepas jawatankuasa itu mengadakan enam siri mesyuarat bersama pihak berkaitan, termasuk FELDA.
Jawatankuasa Khas HTF30 berkata pihaknya akan terus menjalankan mandat untuk mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan bagi mencapai objektif hala tuju Kumpulan FELDA.
Penubuhan Jawatankuasa Khas HTF30 diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2025 bagi mengkaji dan meneliti pelan strategik yang disediakan oleh FELDA.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Ahmad Fuad Md Ali dan Dr Nungsari Ahmad Radhi.
Nurhisham Hussein pula menganggotai jawatankuasa berkenaan selaku wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Bahagian Kawal Selia FELDA, JPM; pakar audit daripada Ernst & Young PLT Malaysia serta pakar undang-undang daripada Tetuan Mohamad Hanafiah Zakaria.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








