BERITA SEMASA

RTM raih 114 pencalonan top 5 Anugerah Seri Angkasa 2026

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus membuktikan keunggulannya dalam industri penyiaran negara apabila berjaya meraih 114 pencalonan dalam senarai lima terbaik (Top 5) Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026).

RTM berkata, pencapaian itu diperoleh menerusi 53 kategori yang tersenarai, melibatkan 35 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan dua kategori media baharu.

“RTM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor industri kreatif dengan mendominasi senarai calon lima teratas (Top 5) bagi Anugerah Seri Angkasa 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ASA 2026 yang membawa tema Segalanya Bermula Di Sini bakal mempertandingkan 60 kategori utama melibatkan 40 kategori TV, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.

Dalam kategori TV, RTM menguasai kategori Pengulas TV Terbaik apabila kesemua lima pencalonan disandang oleh warga RTM iaitu Aizuddin Nizam Shah, Edlynna Hanie Abu Hamid, Mohd Firdaus Musa dan Ismail Adnan yang menerima dua pencalonan.

Kategori Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik turut menyaksikan lima calon RTM tersenarai, termasuk Mohd Rafael Ramlan yang menerima dua pencalonan menerusi siaran langsung demonstrasi maritim LIMA 2025 dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Selain itu, empat personaliti RTM turut tercalon dalam kategori Pengacara TV Terbaik iaitu Andy Reza Rohadian Khairul Anwar, Dr Mohd Efirno Johari, Nabila Huda dan Sayed Munawar Sayed Mohamad Mustar.

Beberapa warga RTM turut mencatat pencalonan dalam lebih daripada satu kategori antaranya Mohammed Shahril Sarapudin, Razliza Abdul Razak, Andy Reza Rohadian Khairul Anwar dan Faizal Ariff yang masing-masing menyerlah dalam bidang penerbitan, kewartawanan, dokumentari dan rancangan sukan.

Bagi kategori Drama TV Terbaik, RTM bersaing menerusi karya Selampai Labung arahan Danny Alamsyah Adriansyah terbitan Unit Drama TV RTM. Beberapa drama terbitan swasta yang disiarkan di RTM turut menerima pencalonan dalam pelbagai kategori lakonan dan pengarahan.

RTM turut menunjukkan kekuatan dalam bidang teknikal apabila beberapa tenaga produksinya tercalon dalam kategori jurukamera, penataan cahaya, audio rancangan TV, pengimbangan muzik, set TV dan tatarias.

Sementara itu, kategori radio menyaksikan RTM menerima 39 pencalonan dalam 16 kategori. Antaranya menerusi drama radio Hujan Teduh terbitan Nasional FM yang tersenarai dalam kategori Skrip Drama Radio Terbaik dan Pelakon Drama Radio Terbaik.

Drama radio Melur Di Hujung Muara terbitan Radio Klasik pula menerima pencalonan menerusi kategori Pelakon Drama Radio Terbaik dan Pelakon Pembantu Drama Radio Terbaik.

Bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Terbaik, RTM diwakili Mohd Azlan Omar daripada Radio Klasik, manakala kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik menampilkan Nik Nur Syuhada’ Balqis Juhali, Nurul Hidayah Md Nawai dan Nurul Nadiah Ahmad Mamabarak.

Kategori Pengulas Radio Terbaik yang diperkenalkan semula selepas digugurkan pada tahun 2022 turut menyaksikan tiga calon RTM tersenarai iaitu Anil Kumar Alagu, Mohd Nazrie Fahmie Sukri dan Suzilawatty Mohd Sumib.

Dalam kategori media baharu pula, RTM menerima pencalonan menerusi karya Budi Tak Pernah Mati dan Ryan Raya bagi kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Mikro Terbaik, selain Gema Anak Rantau dan Rehlah Haramain: Al-‘Ula dalam kategori Video Pendek Terbaik.

Malam Kemuncak ASA 2026 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 Oktober depan, jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 serta RTMKlik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button