Black Vortex FC lakar sejarah, juara ELBA Merdeka Cup B-14
KUALA LUMPUR – Black Vortex FC melakar pencapaian membanggakan apabila muncul juara ELBA Merdeka Cup 2026 Bawah 14 Tahun (B-14), sekali gus memberi isyarat awal mengenai potensi kelab itu dalam pembangunan bola sepak akar umbi.
Pada aksi final, kelab yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan itu menewaskan Akademi MBPJ FC A dengan keputusan 1-0 untuk dinobatkan sebagai juara, manakala pasukan lawan terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.
Lebih membanggakan, Black Vortex FC yang ditubuhkan tahun lalu hasil inisiatif ibu bapa pemain turut menyingkirkan pasukan dari Indonesia pada peringkat suku akhir.
Kejayaan itu membolehkan Black Vortex FC membawa pulang piala serta hadiah wang tunai RM1,000 yang disampaikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Wakil ibu bapa kelab, Aliza Zain, berkata kejohanan berkenaan membuktikan kepentingan program pembangunan bola sepak akar umbi yang dimulakan sejak usia awal bagi melahirkan pelapis berpotensi.
“Ini bertepatan dengan matlamat penubuhan Black Vortec FC sebagai platform mencungkil bakat pemain bola sepak yang mampu mewakili negeri dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada waris dan ibu bapa yang menunjukkan komitmen tinggi dengan memastikan anak-anak berlatih bagi menghadapi persediaan kejohanan ini,” katanya.
ELBA Merdeka Cup 2026 kembali dianjurkan tahun ini sebagai kejohanan bola sepak selama dua hari dengan kerjasama Kuala Lumpur Youth Football Club, yang sebelum ini dikenali sebagai NFDP Kuala Lumpur & Putrajaya.
Kejohanan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi itu disertai lebih 80 pasukan terdiri daripada pelbagai pasukan sekolah dan kumpulan belia sempena bulan kemerdekaan.
Pertandingan membabitkan kategori B-10, B-12, B-14 dan B-16, sekali gus menyediakan platform kepada pemain muda menguji keupayaan atletik, semangat berpasukan, disiplin dan semangat kesukanan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








