Najib belum lunaskan denda RM50 juta – Peguam Negara
KAJANG – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bayaran denda itu perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes berkenaan bermula dan dibicarakan di mahkamah tersebut.
“Setakat ini, keluarga Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Tinjauan Bernama di pekarangan Penjara Kajang, di sini mendapati tiada sebarang pergerakan membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 18 Sept, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








