Mbappe tamatkan kerjasama dengan Nike, sertai jenama Switzerland On
MADRID – Kapten Perancis dan bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, menamatkan kerjasama jangka panjangnya dengan Nike selepas menyertai jenama pakaian sukan Switzerland, On.
On dalam satu kenyataan mengumumkan kemasukannya ke dalam industri bola sepak bersama Mbappe, sekali gus membuka lembaran baharu buat syarikat itu dalam sukan paling popular di dunia.
“Sejak awal, perkara yang menarik saya kepada On ialah peluang untuk membina sesuatu yang benar-benar baharu bersama-sama, yang akan membantu membentuk permainan masa depan,” kata Mbappe.
On yang sebelum ini lebih dikenali dalam produk kasut larian dan tenis turut mengumumkan pelantikan legenda Perancis dan juara Piala Dunia 1998, Thierry Henry, sebagai pengarah bola sepak.
Syarikat itu merancang melancarkan kasut bola sepak pertamanya pada tahun depan, dengan penyertaan Mbappe menjadi antara langkah utama dalam usaha menembusi pasaran bola sepak global.
Nilai kontrak Mbappe bersama On bagaimanapun tidak didedahkan.
On yang ditubuhkan pada 2010 turut mempunyai bintang tenis Roger Federer sebagai antara pemegang sahamnya.
Federer juga meninggalkan Nike menjelang penghujung karier profesionalnya sebelum menyertai syarikat yang berpangkalan di Zurich itu.
Perpindahan Mbappe memberi tamparan kepada Nike, yang telah bekerjasama dengan penyerang Real Madrid itu sejak 2006 dan menjadikannya antara wajah utama jenama tersebut dalam bola sepak.
Mbappe, 27, merupakan juara Piala Dunia 2018 dan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah kejohanan itu dengan 22 gol.
Beliau secara beransur-ansur muncul sebagai antara duta bola sepak utama Nike, mengambil alih peranan yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Perpindahan itu turut menyusuli langkah pemain Sepanyol, Lamine Yamal, yang meninggalkan Nike untuk menyertai Adidas pada 2024.
Nike masih mempunyai beberapa bintang bola sepak dunia di bawah kontrak, termasuk penyerang Norway, Erling Haaland dan pemain Brazil, Vinicius Junior.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



