Atlet Australia mohon maaf, tarik semula kemenangan HYROX di Beijing
BEIJING – Atlet Australia, Joanna Wietrzyk menarik semula kemenangan yang diraihnya dalam pertandingan kecergasan HYROX di Beijing pada Sabtu lalu, susulan kontroversi yang tercetus ketika perlumbaan berkenaan.
Wietrzyk berkata, beliau memohon maaf dan kesal kerana mengambil keputusan untuk meneruskan saingan meskipun mengalami masalah kesihatan yang tidak dijangka sepanjang pertandingan.
“Saya memohon maaf kepada peserta lain, penonton, penganjur serta rakyat China yang terkesan dengan insiden berkenaan.
“Saya mengakui tindakan saya memberi kesan kepada orang lain dan saya benar-benar kesal. Apabila mengimbas semula kejadian itu, saya sepatutnya membuat keputusan berbeza dan meninggalkan perlumbaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Baca juga : HYROX: Tercirit ketika berlumba, atlet Australia cetus kontroversi selepas muncul juara
Beliau berkata, dirinya berada dalam keadaan sihat sebelum perlumbaan bermula dan tidak menyangka akan berdepan sebarang masalah kesihatan ketika bertanding.
Susulan kritikan yang diterima, Wietrzyk kemudian mengambil keputusan untuk melepaskan kemenangan yang diperolehnya dalam acara terbabit.
Kontroversi itu menjadi perhatian selepas rakaman perlumbaan tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai aspek kebersihan serta pelaksanaan prosedur keselamatan oleh pihak penganjur.
Pengasas bersama HYROX, Moritz Furste, turut memohon maaf berhubung cara situasi itu dikendalikan selain berjanji menambah baik proses pengurusan acara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam kenyataan berasingan, HYROX menjelaskan pihaknya mempunyai prosedur kesihatan dan keselamatan yang jelas, namun mengakui berlaku kekeliruan dalam pelaksanaan protokol ketika insiden itu berlaku.
Pada masa sama, penganjur mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu atau mengugut atlet berkenaan susulan identitinya tersebar di media sosial.
HYROX menegaskan bahawa tiada tempat untuk sebarang bentuk gangguan atau ancaman terhadap atlet dalam komuniti sukan terbabit.
HYROX adalah acara yang menggabungkan larian dan beberapa stesen senaman berfungsi, yang menguji kemampuan fizikal peserta sehingga ke tahap maksimum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








