Berita Semasa

Klang akan dinaik taraf kepada bandar raya

KLANG – Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, kelulusan itu dipersetujui menerusi hasil Mesyuarat Jemaah Menteri selepas MPK memiliki kekuatan kewangan mampan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran cekap dan bertaraf antarabangsa selain meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat daerah ini.

Menurut beliau, MPK akan menjadi bandar raya keempat di Selangor selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Melalui visi Klang Bandaraya Diraja dan Warisan yang Mampan, MPK sentiasa komited dan berusaha untuk menerapkan elemen bandar rendah karbon dan pelaksanaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui pelbagai cara termasuk menganjurkan pertandingan berunsurkan pendidikan dan rasa cintakan alam sekitar melibatkan segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sudut Perpustakaan Mini, Pangsapuri Cempaka, Bandar Baru Klang di sini pada Rabu.

Berkenaan majlis Noraini memberitahu, pertandingan menyediakan ruang sudut perpustakaan mini pada peringkat permulaan ini dilaksanakan di bangunan-bangunan strata di dalam kawasan pentadbiran Majlis dan akan dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Buku -buku yang disumbangkan perlu di dalam keadaan baik untuk digunakan semula dan semua jenis buku bacaan yang bersesuaian dengan semua peringkat umur adalah diterima,” tambah beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button