JENAYAH & MAHKAMAH

Aduan Facebook bantu bongkar kegiatan pengedaran dadah

PAPAR – Aduan awam yang disalurkan menerusi Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah membawa kepada penahanan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Kampung Silat, Bongawan, dekat sini.

Dalam operasi khas yang dijalankan JSJN Sabah pada 10 September lalu, polis turut merampas 87.22 gram syabu bernilai kira-kira RM5,000 serta menemukan dua laras senapang angin dan satu objek menyerupai pistol di sebuah rumah yang diserbu.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Gempur Khas hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 43 tahun selepas pemeriksaan menemukan satu paket besar serta 64 paket kecil berisi bahan disyaki syabu seberat 32.87 gram.

“Dadah yang dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemukan di dalam sebuah beg yang diserahkan oleh salah seorang suspek. Polis turut merampas tiga telefon bimbit.

“Hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” memetik Buletin TV3 online.

Beliau berkata, dalam tangkapan kedua, tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan selepas seorang daripada mereka didapati memiliki 48 paket plastik pelbagai saiz berisi 54.35 gram bahan disyaki syabu.

“Dadah yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu dirampas bersama sebuah telefon bimbit dan sebuah Perodua Myvi.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Ujian saringan awal mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah, manakala dua lagi negatif,” katanya lagi.

Alhusin berkata, dua laras senapang angin dan objek menyerupai pistol yang dirampas telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, semua suspek telah direman bagi membantu siasatan, manakala sampel dadah yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis.

“Risikan dan usaha mengesan sumber bekalan dadah terbabit masih diteruskan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button