Timbalan Ketua Polis Negara baharu diumum dalam masa terdekat – Saifuddin
KULIM – Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas proses pemilihan calon selesai.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses pemilihan kini bermula di peringkat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum dibawa untuk mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pengumuman pelantikan itu dibuat dalam tempoh sehari dua selepas semua proses berkaitan diselesaikan.
“Kita akan umumkan dalam masa terdekat selepas prosesnya bermula dengan SPP yang saya pengerusikan bersama jawatankuasa lain sebelum dibawa bagi mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita sudah menamakan calon mengikut kekosongan susulan persaraan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. Sehari dua ini kita akan umumkan,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Lawatan Pemantauan Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah-Ayer Putih, Junjong, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, seramai 28 pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) yang memegang jawatan kanan dalam PDRM layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan berkenaan.
Katanya, semua nama calon terbabit telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penilaian lanjut berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
“Semua layak. Dalam polis ada 25 orang CP dan ditambah tiga lagi CP yang dilantik atas kapasiti khas Ketua Polis Negara. Jadi 28, semua yang berada dalam kelompok itulah yang nama kita persembah kepada Tuanku.
“Proses ini adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki kita berbuat demikian dan itu sudah kita selesaikan,” katanya.
Jawatan Timbalan KPN kini kosong susulan persaraan Ayob Khan pada 26 Julai lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







