Polis lepaskan tembakan cuba halang pasangan kekasih melarikan diri
KULAI – Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Perodua Myvi selepas sepasangan kekasih bertindak melanggar anggota polis dan cuba melarikan diri di Jalan Kenari, Bandar Putra, di sini, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan diri serta memberhentikan kenderaan berkenaan selepas suspek turut melanggar motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan sebuah kereta orang awam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi ketika anggota polis melakukan rondaan sebelum mengesan Perodua Myvi berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki dan wanita warga tempatan, kedua-duanya berusia 23 tahun.
“Suspek kemudiannya bertindak agresif dengan melanggar motosikal URB, sebuah kereta orang awam selain cuba melanggar anggota polis berkenaan.
“Bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kereta itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan, namun suspek dapat memecut keluar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian itu menyebabkan seorang anggota URB cedera ringan di bahagian kaki selepas tersepit apabila dengan motosikal yang dirempuh suspek.
Tan Seng Lee berkata, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di lokasi kejadian turut menemukan serpihan anak peluru dan kelongsong.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berjaya memberkas kedua-dua suspek kurang 24 jam selepas kejadian.
“Kedua-dua suspek ditahan antara pukul 11.30 pagi hingga 8.30 malam Sabtu di Bandar Putra dan Kluang.
“Polis turut merampas sebuah alat kawalan jauh dan Perodua Myvi berwarna hitam yang digunakan suspek,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 332 kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








