BERITA SEMASA

MB Negeri Sembilan digesa dedahkan dakwaan dipaksa tandatangani dokumen turunkan Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa supaya mendedahkan perkara sebenar mengenai pengesahannya yang telah menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan dan secara paksaan.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata, ini kerana dakwaan beliau menandatangani dokumen tanpa rela hati dan secara paksaan sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana rakyat Malaysia.

“Siapa yang memaksa Menteri Besar untuk menandatangani dokumen menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan?

“Dakwaan ini juga sedikit sebanyak mengiyakan laporan The Straits Times sebelum ini. Adakah benar terdapat sosok-sosok dalam UMNO yang terlibat dalam episod ini, menurunkan seorang Raja Melayu yang mereka sendiri akui sebagai sah?” soalnya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu.

“Isu ini sudah melangkaui Negeri Sembilan. Perkembangan terbaru ini melibatkan soal kelangsungan dan keselamatan institusi-institusi dalam negara serta Raja-Raja Melayu,” katanya.

Terdahulu Ismail mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular baru-baru ini tanpa kerelaan dan secara paksaan.

Sehubungan itu Ismail berkata, beliau telah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara Proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button