Johor mula operasi buru anjing liar, cegah serangan berulang
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan melancarkan operasi memburu anjing liar besar-besaran susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah diserang sekumpulan haiwan berkenaan di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi berkenaan telah mula dilaksanakan sejak semalam khususnya di lokasi berkenaan, memetik laporan Utusan Online.
Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor telah arahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan operasi berkenaan.
“Pada waktu ini, operasi telah mula dilaksanakan di Batu Pahat. Tetapi saya percaya isu ini berlaku di banyak kawasan, sehubungan itu PBT telah diminta melipat gandakan operasi di kawasan masing-masing.
“Hidupan liar termasuk anjing yang mengancam keselamatan awam tidak mempunyai tempat di mata masyarakat, sehubungan itu tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.
“Langkah segera perlu diambil bagi memastikan anjing-anjing yang menyerang diperiksa sama ada menghidap rabies atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menziarah kanak-kanak berkenaan di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah melaksanakan tiga operasi tangkapan anjing liar di kawasan berkenaan sepanjang bulan lalu, dengan sebanyak 22 ekor anjing liar telah ditangkap.
“PBT telah jalankan operasi susulan aduan awam yang diterima melibatkan kawasan tersebut, tetapi walaupun operasi telah dibuat, kita dapati masih terdapat banyak lagi haiwan berkenaan di kawasan tersebut.
“Sehubungan itu, saya berharap PBT akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan haiwan-haiwan berkenaan dapat ditangkap demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat,” katanya sambil memberitahu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menanggung kos rawatan kanak-kanak tersebut.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di keseluruhan badannya apabila diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumahnya di Peserai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 7 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berada di hadapan rumah sebelum diserang sekumpulan anjing liar di kawasan berkenaan sehingga menyebabkannya cedera di hampir seluruh badan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.-
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








