PMX

PM tegaskan DEB bukan untuk perkaya elit, tetapi angkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR – Gagasan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bukan bertujuan memberi ruang kepada golongan elit atau keluarga tertentu, sebaliknya untuk mengangkat taraf hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, visi Tun Razak menerusi DEB adalah untuk memastikan orang Melayu dapat meningkatkan kedudukan ekonomi melalui penstrukturan semula ekonomi serta membuka ruang kepada keusahawanan.

Katanya, DEB perlu difahami berdasarkan gagasan asal Tun Razak yang mahu mengangkat semua anak Melayu yang berkemampuan supaya dapat bersaing dengan kaum lain.

“Bagi Tun Razak tidak jelas orang Melayu dan orang biasa tidak mungkin terangkat kalau tidak disusun semula dasar ekonomi, membolehkan mengangkat martabat hidup mereka.

“Bukan untuk memberikan ruang kepada golongan elit, kuasa dan keluarga, tetapi mengangkat semua anak-anak Melayu yang mampu dalam keusahawanan supaya dapat bersaing dengan kaum lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak di ibu negara hari ini.

Baca juga : Dua daripada tiga ancaman ‘C’ Tun Abdul Razak masih jadi cabaran – Anwar

Anwar berkata, gagasan berkenaan pada ketika itu bersifat agak radikal kerana pendekatan yang dibawa Tun Razak adalah untuk melakukan perubahan terhadap struktur ekonomi dan masyarakat.

Menurutnya, selain meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat Melayu, Tun Razak juga tidak pernah berganjak daripada pendirian untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

“Dan keduanya tentang membasmi kemiskinan. Ramai anak-anak sekarang yang lupa, tatkala Tun Razak menggagaskan Dasar Ekonomi Baru dari awal, dia tidak pernah berganjak di pendirian membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum,” katanya.

Anwar berkata, pendekatan Tun Razak itu menunjukkan DEB pada asasnya merupakan gagasan untuk melakukan penstrukturan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.

Katanya, meskipun kefahaman mengenai DEB perlu disemak dan dimantapkan supaya lebih sesuai dengan tuntutan semasa, konsep asal dasar berkenaan masih mempunyai nilai yang besar.

“Walaupun harus disemak dan dimantapkan kefahaman Dasar Ekonomi Baru itu secara lebih sesuai, relevan dengan tuntutan semasa, ia masih suatu konsep yang sangat unggul dari sudut penstrukturan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.

“Malangnya dalam naratif semasa, ia jadi umpamanya satu kecenderungan untuk menafsirkan dari seluruh kaum,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button