SPRM tahan pengerusi perumahan, disyaki seleweng RM1.6 juta
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor kerana disyaki meminta wang daripada kira-kira 400 pemohon lot tapak rumah, membabitkan jumlah keseluruhan sekitar RM1.6 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam Isnin ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap pemohon sebagai bayaran bagi urusan permohonan lot tapak perumahan kerajaan.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara 2016 hingga 2025.
Wang yang dikutip pula dipercayai diseleweng untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa berkenaan menggunakan invois palsu.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan,” katanya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan transaksi serta pihak lain yang mungkin terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








