Op THRIPS: Suspek maut ditembak, polis rampas dadah MDMA bernilai RM27.5 juta
KUALA LUMPUR – Seorang suspek maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis ketika serbuan ke atas sebuah rumah yang dijadikan makmal mini memproses dadah di Garden Homes, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Dalam operasi sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 182.39 kilogram (kg) dadah disyaki MDMA bernilai kira-kira RM27.5 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Op THRIPS yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semalam bermula pada pukul 1.30 petang berdasarkan maklumat risikan.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah teres di Garden Homes sebelum seorang suspek bertindak agresif melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan balas. Suspek kemudiannya didapati tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital,” katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.
Hussein berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rumah berkenaan dijadikan makmal mini haram bagi memproses dadah jenis MDMA.
Antara yang dirampas ialah 64.49kg cecair disyaki MDMA, 5.2kg ketulan disyaki MDMA, 7.9kg pil disyaki MDMA dan 104.8kg serbuk disyaki MDMA, selain pelbagai peralatan memproses dadah.
Beliau berkata, dua lagi serbuan susulan dilakukan di sekitar Seremban 2, Negeri Sembilan dan De Tropicana Residence, Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Dua suspek tempatan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 35 tahun ditahan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua positif methamphetamine (METH), manakala suspek ketiga positif THC,” katanya menerusi kenyataan di hantaran Facebook JSJN Bukit Aman.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan kawasan perumahan berkepadatan rendah sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bagi mengaburi kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM27.5 juta dan dipercayai mampu merosakkan sehingga 404,000 orang pengguna,” katanya.
Dalam tindakan susulan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, JSJN turut menyita tiga kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah, iaitu Honda Accord, Nissan Almera dan Honda City.
Ketiga-tiga kenderaan itu dianggarkan bernilai RM98,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan kira-kira RM27.6 juta.
Dua suspek yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 September ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hussein berkata, kejayaan Op THRIPS membuktikan komitmen JSJN dalam membanteras kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah secara agresif, berfokus dan berimpak tinggi bagi melumpuhkan rangkaian sindiket serta melindungi generasi masa kini dan akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



