Tiada SJKT akan ditutup di bawah Kerajaan MADANI – Fadhlina
SUNGAI BAKAP – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan itu diberikan bagi menangkis persepsi yang masih wujud dalam kalangan segelintir masyarakat bahawa SJKT akan ditutup.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited memastikan kelangsungan sekolah berkenaan dengan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan, penyelenggaraan serta pengukuhan kualiti pendidikan.
“Kita beri jaminan bahawa di bawah Kerajaan MADANI, tiada SJKT yang akan ditutup. Malah, kita akan terus memberi tumpuan kepada semua sekolah dari segi pembangunan, penyelenggaraan dan program-program yang berkaitan dengan pengukuhan guru serta pelajar.
“Untuk Kerajaan MADANI, tidak akan ada sekolah yang ditutup,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan SJKT Sungai Bakap di sini hari ini.
Fadhlina berkata, kepelbagaian sistem pendidikan negara yang merangkumi sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJKT merupakan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Justeru, katanya, semua murid tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang perlu diberikan akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan beberapa projek khas pendidikan bernilai RM30 juta di beberapa negeri termasuk Johor, Perak dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan pendidikan.
Mengenai pembinaan SJKT Sungai Bakap, Fadhlina berkata, projek bernilai RM12.6 juta itu akan dilaksanakan oleh Yayasan Didik Negara dengan tempoh pembinaan selama 56 minggu.
“Projek berkenaan akan dipantau oleh Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan pembinaan sekolah tersebut sebagai perkembangan penting kepada komuniti Sungai Bakap, selain menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan komprehensif untuk generasi akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



