DNA waris 55 rakyat Malaysia gagal dikesan di Nepal selesai diperoleh
SEREMBAN – Kesemua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris terdekat 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal selesai diperoleh, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Nepal bagi membolehkan proses padanan DNA dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu, namun dijangka mengambil masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.
Mohamad berkata, Malaysia juga bersedia menghantar pakar daripada Jabatan Kimia sekiranya diperlukan bagi membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti padanan DNA tersebut.
“Banyak negara lain juga akan menghantar pakar masing-masing untuk membantu Nepal mengenal pasti padanan DNA mangsa terlibat, sekali gus mempercepat proses tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Nepal memberikan kerjasama amat baik kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan harian daripada Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu mengenai perkembangan operasi pencarian dan keadaan semasa di lapangan selain semua waris yang terlibat juga dihubungi secara berkala sekiranya terdapat perkembangan baharu.
Sementara itu, beliau memaklumkan Nepal mengehadkan kemasukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara luar kerana mahu mengelakkan kehadiran terlalu banyak pasukan asing sehingga boleh menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengendalikan operasi.
Pagi tadi, sebanyak 11 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR di kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di negara itu dengan misi dijangka berlangsung selama 10 hari.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana pada 26 Ogos lepas, manakala sebahagian daripada 77 individu yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal telah selamat tiba di Malaysia dan bakinya dijangka pulang menggunakan penerbangan diuruskan ejen pelancongan masing-masing. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








