Naib Presiden Bank of America maut ditikam di Times Square
NEW YORK – Seorang wanita yang maut ditikam dalam serangan menggunakan pisau di kawasan ikonik Times Square, New York, dikenal pasti sebagai Naib Presiden Bank of America, Erin Piacenti, 32.
Menurut laporan media Amerika Syarikat (AS), perkara itu turut disahkan pihak bank berkenaan.
Piacenti maut selepas ditikam seorang penyerang berhampiran Times Square kelmarin, sebelum suspek ditembak mati polis.
Dalam kejadian sama, seorang lelaki warga emas turut cedera akibat serangan itu.
Bank of America dalam kenyataan menerusi e-mel kepada agensi berita Reuters menyifatkan Piacenti sebagai rakan sekerja yang sangat dihargai.
“Kami terkejut dan amat berdukacita atas kehilangan tragis rakan sekerja kami.
“Beliau adalah anggota pasukan yang amat dihargai dan pasti akan dirindui. Ingatan dan simpati kami kepada keluarganya serta semua insan yang menyayanginya,” menurut kenyataan itu.
Suspek dikenal pasti polis New York sebagai Pamela Cisneros, 49, dari Queens.
Polis berkata, Cisneros dipercayai menyerang dua individu di kawasan West 42nd Street dan Seventh Avenue sebelum berdepan dengan anggota polis.
Pesuruhjaya Polis New York (NYPD), Jessica Tisch berkata, anggota polis cuba berunding dengan suspek selama kira-kira empat minit sebelum melepaskan tembakan.
Menurutnya, anggota polis turut berulang kali mengarahkan Cisneros supaya meletakkan pisau yang dipegangnya, namun arahan berkenaan enggan dipatuhi.
Polis kemudian menembak suspek yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








