BERITA SEMASA

KKDW mohon RM14.39 bilion bagi Rolling Plan Kedua 2027 – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdepan jurang kira-kira RM6 bilion antara jumlah peruntukan pembangunan yang dipohon bagi Rolling Plan Kedua 2027 dengan siling bayangan yang diberikan Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KKDW memohon peruntukan pembangunan kira-kira RM14.39 bilion, namun hanya sekitar RM8.3 bilion ditetapkan dalam siling bayangan berkenaan.

Katanya, perbezaan itu menggambarkan cabaran kerajaan dalam memenuhi keperluan pembangunan ketika berdepan sumber kewangan yang terhad.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi penyelarasan bersama Kementerian Kewangan, KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengarah Belanjawan untuk menyampaikan hasrat kita menyelesaikan, menjelaskan keutamaan KKDW dan mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan.

“Bagi Rolling Plan Kedua 2027, siling bayangan peruntukan pembangunan kita adalah sekitar RM8.3 bilion. Itu bayangan yang mereka (MOF) berikan sedangkan permohonan kita mencecah kira-kira RM14.39 bilion, ertinya jurang kekurangan kita RM6 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keadaan itu perlu dilihat sebagai realiti penting dalam pengurusan kewangan kerajaan ketika ini, terutama apabila ruang fiskal tidak sebesar beberapa tahun kebelakangan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan KKDW perlu memastikan setiap ringgit yang diterima mampu menghasilkan nilai serta impak terbesar kepada rakyat, selaras dengan prinsip perbelanjaan yang lebih berkesan dan berasaskan keutamaan.

“Saya harap saya silap, namun berapa pun jumlah yang akhirnya kita terima, kita mesti melihat belanjawan bukan sekadar sebagai proses membahagikan peruntukan.

“Belanjawan ialah proses menukar sumber yang terhad kepada nilai awam yang paling besar kerana dalam ekonomi, setiap keputusan mempunyai ‘opportunity cost’,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid, usaha mengoptimumkan setiap ringgit yang diperuntukkan bukan hanya tanggungjawab Bahagian Kewangan atau Perolehan, sebaliknya perlu digalas semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah KKDW.

Katanya, keberkesanan sesuatu program perlu dinilai semula dari semasa ke semasa dan tidak seharusnya diteruskan hanya kerana ia sudah menjadi amalan sejak sekian lama.

“Sekarang kita mesti bertanya, adakah masalah yang mahu diselesaikan masih wujud? Adakah pendekatan yang digunakan masih relevan? Adakah terdapat pertindihan dengan program atau agensi lain?.

“Dan yang paling penting, adakah hasil yang dicapai benar-benar setimpal dengan sumber yang dibelanjakan?” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan sumber kewangan yang terhad, kecekapan bukan sekadar bermakna mengurangkan perbelanjaan, tetapi memastikan setiap peruntukan disalurkan kepada perkara yang tepat dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, sumber juga perlu dialihkan daripada perkara yang memberikan nilai rendah kepada program yang benar-benar memberi manfaat serta impak kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button