LUAR NEGARA

Lebih 20 individu hilang selepas banjir kilat di Grand Canyon

ARIZONA – Lebih 20 individu dilaporkan masih belum dapat dikesan selepas banjir kilat besar melanda kawasan pedalaman Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat, Sabtu lalu.

Banjir berlaku kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan di kawasan Bright Angel Canyon dan Phantom Ranch, dengan arus deras membawa lumpur, batu serta serpihan sehingga menerjah laluan dan kemudahan di dasar ngarai.

Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (NPS) memaklumkan, sekurang-kurangnya 62 individu telah dipindahkan dari kawasan Phantom Ranch dan laluan North Kaibab Trail setakat pagi Ahad.

“Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Awam Arizona, termasuk penggunaan helikopter bagi melakukan tinjauan dari udara di kawasan yang terjejas.

“NPS turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pendaki atau pengembara yang berada di sekitar koridor Bright Angel Creek ketika kejadian supaya tampil membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang masih belum dikesan,” lapor NPS.

Bencana itu turut menyebabkan kerosakan ketara terhadap infrastruktur apabila hampir kesemua jambatan pejalan kaki yang merentasi Bright Angel Creek di Bright Angel Canyon musnah akibat arus deras.

Serpihan logam dan pelbagai bahan lain yang dihanyutkan banjir turut memasuki Sungai Colorado, menyebabkan laluan sungai berkenaan ditutup sementara atas faktor keselamatan.

Antara kawasan yang ditutup kepada orang awam ialah Phantom Ranch, Bright Angel Campground, Phantom Ranch Canteen serta beberapa kabin di kawasan berkenaan.

Keseluruhan laluan North Kaibab Trail dari North Kaibab Trailhead hingga Phantom Ranch turut ditutup.

Dalam pada itu, NPS memberi amaran bahawa hujan lebat dan ribut petir masih berpotensi berlaku, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat, aliran lumpur serta runtuhan batu di kawasan terbabit.

Kerosakan turut menjejaskan sistem bekalan air taman negara selepas saluran paip utama yang membekalkan air kepada pelawat dan penduduk di kawasan berkenaan mengalami kerosakan akibat banjir.

Operasi mencari dan menyelamat kini terus dipergiat bagi mengesan individu yang masih belum diketahui keberadaan mereka, sementara pihak berkuasa menilai kerosakan dan keadaan keselamatan sebelum kawasan terbabit dibuka semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button