DBKL roboh tiga billboard tanpa kelulusan di Setiawangsa, Wangsa Maju
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan dan memindahkan tiga struktur papan iklan atau billboard yang didirikan tanpa kelulusan di atas rizab jalan awam sekitar Setiawangsa dan Wangsa Maju.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan DBKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin sebagai tindakan terhadap struktur iklan yang didapati didirikan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.

“Tindakan ke atas ketiga-tiga struktur iklan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 memandangkan struktur berkenaan didirikan di atas rizab jalan awam dan dikategorikan sebagai menghalang kemudahan awam.
“Struktur terbabit telah diturunkan dan dibawa ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha DBKL memastikan sebarang struktur yang dibina di atas rizab jalan awam tidak menjejaskan keselamatan serta kepentingan orang ramai.
DBKL menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mendirikan struktur iklan tanpa kelulusan di lokasi berkenaan.
Pada masa sama, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan sebarang pembinaan struktur iklan yang melanggar peraturan.
Orang awam yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan pemasangan struktur iklan tanpa kelulusan boleh menyalurkannya kepada DBKL menerusi saluran aduan yang disediakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








