BERITA SEMASA

Sarong Melaka Flash Mob hiasi hari terakhir Melaka Showcase

KUALA LUMPUR – Suasana meriah dan ceria menghiasi hari terakhir Melaka Showcase apabila pengunjung disajikan dengan persembahan Sarong Melaka Flash Mob yang menghidupkan elemen warisan dan identiti negeri itu dalam suasana santai serta penuh warna-warni.

Berlangsung pada pukul 4.30 petang di kawasan pentas utama, aktiviti berkenaan bukan sahaja mencuri perhatian pengunjung, malah mengetengahkan keunikan warisan Melaka menerusi pendekatan kreatif dan lebih dekat dengan masyarakat.

melaka showcase
Aksi peserta ketika mengadakan persembahan tarian Sarong Melaka Flash Mob.

Puluhan remaja dan anak muda yang memakai persalinan tradisional termasuk kain batik dan kain pelekat dengan cara tersendiri bersemangat menjayakan persembahan tersebut.

Tarian flash mob itu dilatari dengan lagi nyanyian Wani Kayrie bertajuk Cak Cak Cekuk.

Pengarah MARA Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar berkata, selain memberi kelainan kepada pengunjung, aktiviti itu turut diadakan bersempena sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

melaka showcase
Pengarah MARA Negeri Melaka, Shah Zulmizan Safar.

“Elemen tradisi dan warisan tetap diterapkan di samping semangat jati dalam mencintai seni warisan negara melalui persembahan kebudayaan berkenaan,” katanya.

Selain itu, turut memeriahkan acara ialah majlis cabutan bertuah Tuah Perdana yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Kemuncak pengisian hari terakhir itu diteruskan dengan persembahan buskers pada pukul 6.30 petang, sebelum pentas luar diserikan pula dengan persembahan artis Dinamik pada pukul 8.30 malam.

Melabuhkan tirainya, Melaka Showcase 2026 berjaya mencapai matlamat dalam usaha membantu golongan usaha meningkatkan jenama pasaran, menjana jualan, memperluaskan rangkaian pelanggan serta membina jaringan perniagaan dengan pihak industri dan bakal rakan niaga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button