Banjir Nepal-Tibet: Angka korban meningkat kepada 392 orang, lebih 1,400 masih hilang
KATHMANDU – Angka korban akibat bencana banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, meningkat kepada 392 orang dengan lebih 1,400 lagi masih belum ditemui.
Angka korban itu meningkat ketika pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah lumpur dan runtuhan bangunan.
Laporan sebelum ini menyebut sebanyak 389 kematian direkodkan di Nepal, manakala tiga lagi dilaporkan di wilayah Tibet, China manakala lebih 1,400 orang masih hilang di kedua-dua kawasan terbabit.
Bencana berlaku selepas sebahagian glasier di kawasan Himalaya runtuh, menyebabkan aliran air, ais, batu dan lumpur dalam jumlah besar mengalir deras ke kawasan lembah.
Arus deras itu memusnahkan rumah, jambatan dan jalan raya, selain menjejaskan kemudahan infrastruktur serta menyukarkan usaha menyelamat.
Di Nepal sahaja, ratusan mangsa masih belum ditemui, manakala operasi mencari turut melibatkan anggota tentera, pasukan keselamatan, anjing pengesan dan helikopter.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila sebuah tasik baharu yang terbentuk akibat sekatan aliran sungai dilaporkan berisiko menyebabkan banjir susulan sekiranya takungan air berkenaan pecah.
Pihak berkuasa Nepal dan China kini meningkatkan usaha menyelamat serta memberi amaran kepada penduduk di kawasan berisiko supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlaku aliran air baharu.
Sementara itu, sejumlah besar pelancong dan warga asing turut dilaporkan hilang dalam bencana berkenaan, menjadikan operasi mencari semakin kompleks.
Pihak berkuasa masih menjalankan pengesahan jumlah mangsa kerana keadaan di beberapa kawasan terjejas menyukarkan akses pasukan penyelamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








