BERITA SEMASA

Kekanda Sultan Pahang mangkat

KUALA LUMPUR – Kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Seri Aishah Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada pukul 9.15 malam tadi.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, jenazah Almarhumah akan dibawa ke Makam Diraja Pahang di Pekan pagi ini untuk dimakamkan dengan penuh penghormatan dan istiadat.

Menurut beliau, kemangkatan Almarhumah merupakan satu kehilangan besar kepada Kerabat Diraja Pahang khususnya buat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa dan kesalahan, menerima segala amal ibadah serta kebajikan yang telah dilakukan sepanjang hayat, serta menempatkan roh Almarhumah dalam kalangan para solihin serta di syurga-Nya.

“Sama-sama kita doakan roh Almarhumah akan bersama orang-orang yang solehah,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan Almarhumah.

“Patik mewakili Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta seluruh rakyat jelata Negeri Pahang Darul Makmur, merafak sembah dan menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan Paduka Kekanda Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah, mengampuni segala dosa, menerima segala amal ibadah serta menempatkan Almarhumah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button