PLKN 3.0 beri impak positif, skor pelatih meningkat kepada 87.44 peratus
KUALA LUMPUR – Enam indikator utama pembangunan pelatih menunjukkan peningkatan selepas mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026, dengan skor purata keseluruhan melonjak daripada 74.35 peratus sebelum latihan kepada 87.44 peratus selepas latihan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata, dapatan itu hasil kajian analisis keberkesanan program yang dijalankan jabatan berkenaan dengan kerjasama tiga universiti awam.
Beliau berkata, enam indikator yang dinilai merangkumi patriotisme dan kesetiaan, perpaduan dan toleransi, disiplin dan transformasi diri, ketahanan mental dan kesiapsiagaan, kompetensi ketenteraan serta kesukarelawanan.
“Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PLKN 3.0 bukan sekadar memberikan pendedahan kepada latihan ketenteraan asas, malah turut berperanan dalam membentuk pelatih yang lebih berdisiplin, berdaya tahan, kompeten, patriotik serta mempunyai semangat perpaduan dan kesukarelawanan,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : PLKN 3.0 guna uniform celoreng tentera, selaras amalan antarabangsa
Kenyataan itu dikeluarkan oleh JLKN bersempena majlis penutupan Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2026 PLKN 3.0 yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 504 Askar Wataniah (AW) Bukit Keteri, Padang Besar, hari ini.
Marzuki berkata, dapatan kajian berkenaan turut mengukuhkan peranan PLKN sebagai platform pembangunan generasi muda secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








