BERITA SEMASA

Pendaki wanita hilang semalaman di Lambir, ditemukan cedera ringan

MIRI – Selepas lebih 18 jam berada di dalam hutan, seorang pendaki wanita berusia 31 tahun yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Taman Negara Lambir, di sini, ditemukan selamat pagi tadi.

Mangsa, Veronique Anak Joseph, ditemui kira-kira pukul 11.17 pagi selepas pasukan operasi menerima maklumat mengenai kedudukannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Veronique Anak Joseph,akhirnya ditemukan selamat pagi tadi. – Foto JBPM

Sebelum kejadian, mangsa bersama lima rakannya memulakan pendakian kira-kira pukul 9 pagi dan tiba di puncak Taman Negara Lambir sekitar tengah hari.

Mereka kemudian memulakan perjalanan turun kira-kira pukul 1 petang, namun mangsa yang berada di hadapan kumpulan dipercayai berjalan lebih pantas sehingga terpisah daripada lima rakannya kira-kira pukul 2 petang.⁷7⁸

Kehilangan mangsa hanya disedari selepas lima pendaki lain tiba di kawasan checkpoint permulaan kira-kira pukul 4.30 petang, sebelum perkara itu dilaporkan kepada Pasukan Ranger Taman Negara Lambir.

Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bersama beberapa renjer, termasuk Wildlife Guardian Ranger.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada malam berkenaan berikutan keadaan gelap serta lokasi sebenar mangsa masih belum dikenal pasti.

Usaha mencari disambung semula pagi ini sebelum pasukan operasi menerima maklumat mengenai lokasi mangsa dan berjaya menemukannya.

Mangsa dipercayai mengalami kecederaan ringan akibat tergelincir sebelum dibawa keluar dari kawasan hutan dan dihantar ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button