Tiada kompromi dalam siasatan TH, FELDA – PM
BANGI – Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua entiti berkenaan akan dilaksanakan secara telus, berterusan dan segera tanpa mengambil kira latar belakang atau parti politik pihak yang terlibat.
“Saya memastikan penyiasatan terhadap TH dan FELDA dijalankan secara berterusan serta segera dan tindakan yang tegas diambil terhadap kalangan yang merosakkan, kerana nafsu serakah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA di sini, hari ini.
Pada masa sama, Anwar menegaskan siasatan terhadap syarikat berkaitan kerajaan itu tidak boleh dikaitkan dengan isu kaum atau agama.
Beliau berkata, pihaknya juga kesal apabila ada pemimpin Islam yang menyifatkan sasaran diambil terhadap TH hanya kerana ia membawa jenama Islam.
“Kita ambil tindakan, kita tak tanya itu syarikat Melayu ke syarikat kerajaan. Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan.
“Jangan jadikan ini sebagai permasalahan kaum atau agama, seperti dalam TH malah kalau tanya saya, orang Islam, orang Melayu patut lebih bersungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai, kerana kita patut jadi contoh,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dapatan RCI TH.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini selepas membenarkan permohonan dikemukakan SPRM.
Laporan RCI setebal 211 halaman yang didedahkan pada 29 Julai lalu memperincikan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Antara perkara yang dikenal pasti ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira kesan rosot nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
Laporan itu turut menyatakan TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.
Keadaan berkenaan menggambarkan kedudukan kewangan TH pada ketika itu berada pada tahap kritikal, selain berlaku jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014 serta beberapa isu berkaitan rosot nilai pelaburan
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








