Setiap kes buli disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan setiap aduan mengenai kes buli akan disiasat mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, kes tersebut perlu dilaporkan kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.
“Peningkatan kes ini, kalau kita ambil dari segi pendekatan advokasi, akses, maknanya penyebaran tentang akses kita untuk murid dan ibu bapa waris, untuk mengadu, maknanya lebih terbuka. Inilah yang kita berikan jaminan bahawa setiap aduan mesti disiasat mengikut tempoh satu, tiga dan tujuh hari seperti yang saya sebut tadi,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Mohammed Taufiq Johari [PH-Sungai Petani] mengenai langkah intervensi susulan peningkatan kes buli di sekolah, di Dewan Rakyat, hari ini .
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fadhlina berkata, KPM mempunyai guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah untuk menangani isu tersebut.
“Guru ini akan memberikan intervensi bersesuaian yang terkait rapat dengan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan murid terjaga secara berterusan.
“Ia adalah sebagai bentuk perlindungan sementara di sekolah bagi melindungi mangsa semasa siasatan dijalankan. Semua kes buli juga perlu dilaporkan kepada pengetua atau guru besar untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Fadlina turut berkata, tempoh penyelesaian kes buli adalah 90 peratus selesai dalam tempoh 15 hari selepas diadu melalui portal Aduan Buli.
Manakala bagi kes yang belum selesai pula, ia memerlukan siasatan lanjut melebihi 15 hari bergantung kepada kes yang dilaporkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








